Friday, 29 April 2011

Ini Tanggungjawab

 
Bukan mudah memelihara seseorang anak. Pengorbanan demi pengorbanan dilakukan untuk memastikan tanggungjawab sebagai seorang ayah dan seorang ibu ditunaikan.

Begitu tulus ikhlas mereka mendidik kita sejak daripada kecil. Tentu sekali apa yang terbaik diberikan pada anaknya ini. Dalam proses ini, ia mampu mengimbau kembali bagaimana perih pedih ibu bapa kita membesarkan kita.

Semua diberi tanpa diharap balasan...

Tapi itu dahulu, sekarang agak berubah sedikit senarionya. Kalau dahulu, kerja membesar dan mendidik seorang anak itu dikatakan satu tanggungjawab. Namun kini ada sesetengahnya menganggap ia suatu pelaburan.

Pelaburan yang bagaimana?

"Bila besar nanti dapat anak bantu kita, dapat duit bulan-bulan"

Ini salah daripada segi adabnya. Jangan biarkan pahala penat lelah kita memelihara anak hilang akibat tersalah niat. Sudah tanggungjawab dan amanah, sebagai seorang ayah, sebagai seorang ibu, perlu memastikan anak-anak membesar selaras dengan kehendak agama.

Namun, tidak dinafikan, tanggungjawab pada bahu anak untuk kedua ibubapa itu tetap ada. Terutamanya anak lelaki.

Seorang anak lelaki perlu berkhidmat dan berlemah-lembut terhadap kedua ibubapanya. Semuanya dilakukan dengan kasih sayang. Sesuai dengan adab murni yang disusun pada agama kita.

Thursday, 28 April 2011

Khalid al Walid dipecat


Siapa yang tidak kenal sahabat Rasulullah s.a.w, Saidina Umar al Khattab r.a yang memikul amanah sebagai seorang khalifah selepas Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. Beliau merupakan seorang khalifah yang juga terulung dalam dunia awal Islam. Terdapat suatu kisah menarik antara beliau dan Saidina Khalid al Walid r.a pada zaman pemerintahan beliau.

Saidina Khalid al Walid r.a merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab. Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Saidina Khalid al Walid r.a.


Namun apa yang memeranjatkan, setelah takhta khalifah diwariskan kepada Saidina Umar al Khattab r.a, beliau bertindak memecat Saidina Khalid al Walid dengan menggantikan Abu Ubaidah r.a untuk jawatan tersebut. Tindakan ini amat mengecewakan kebanyakan orang ramai dan menimbulkan perasaan tidak puas hati.

Walau bagaimanapun, Saidina Khalid al Walid r.a menerima keputusan tersebut dengan tenang dan berterusan taat terhadap kepimpinan Saidina Umar al Khattab r.a.

Apa Yang Tersirat.

Jika dibaca kisah di atas hanya dengan biji mata sahaja, maka sudah tentu perasaan kita turut menyebelahi pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan Saidina Umar r.a. Namun apa yang tersirat sebenarnya jauh lebih halus dari apa yang kita sangkakan.

Soal keyakinan dalam semua perkara yang dilakukan dan menyerah diri hanya kepada Allah s.w.t sahaja amat penting dalam aqidah setiap muslim. Aqidah pula merupakan jantung kepada agama yang kita cintai ini. Jika rosak dan bermasalah jantung tersebut, maka tumbanglah agama kita.

Hikmah Saidina Umar menurunkan pangkat Khalid dan digantikan dengan Abu Ubaidah antaranya ialah agar ia mampu menyedarkan ummat Islam bahawa penyerahan diri dalam setiap perkara walaupun dalam soal peperangan hanya kepada Allah s.w t. Kebimbangan Umar terhadap ummat Islam yang keterlaluan mengagung-agungkan Saidina Khalid al Walid r.a menyebabkan beliau melucutkan jawatan Saidina Khalid al Walid r.a.

Hikmah peristiwa di atas juga adalah menggambarkan bagaimana seorang yang ikhlas dalam mentaati Allah taala, Saidina Khalid al Walid r.a yang tidak kecewa dengan tindakan Saidina Umar r.a, kerana beliau meyakini bahawa beliau pergi berperang bukan untuk habuan dunia, tetapi untuk habuan akhirat, bukannya mengharapkan habuan pangkat di dunia.

Seterusnya, hikmah lain yang boleh diambil adalah ketaatan Saidina Khalid al Walid r.a terhadap seorang pemerintah, khalifah, Saidina Umar al Khattab r.a adalah wajib dalam Islam selagi mana ia berlandaskan syariat Islam. Langsung tiada kepentingan dalam kedua-dua individu mulia di atas, Saidina Umar al Khattab r.a dan Saidina Khalid al Walid r.a untuk mendapatkan sebahagian habuan dunia tetapi apa yang mereka harapkan adalah keredhaan dari Allah taala.

Wallahua’lam

Kemusnahan Teori Darwin

Darwin - Berkait rapat dengan teori evolusi
 
Evolusi

Jika disebut sahaja nama Darwin, maka semua orang akan pasti membayangkan suatu teorinya yang menyatakan manusia berasal dari beruk. Sebenarnya Darwin telah membawa suatu fahaman lebih dari itu dan ia juga cuba menerapkan fahaman alam ini tiada pencipta dan terjadi dengan sendirinya dan wujud secara kebetulan. Kefahaman yang dibawa oleh Darwin adalah teori evolusi.

Siapakah Darwin sebenarnya.

“Khayalan Darwin Darwin’s Imagination Individu yang mengemukakan teori evolusi ini ialah seorang naturalis amatur, Charles Robert Darwin

Darwin tidak pernah mendapat pendidikan biologi secara formal. Beliau hanya meminati subjek alam semulajadi dan benda-benda hidup. Minat beliau terhadap subjek ini telah mendorong beliau menjadi sukarelawan sebuah ekspedisi di atas sebuah kapal bernama, H.M.S Beagle yang dirancangkan di England pada tahun 1832 dan mengembara mengelilingi berbagai kawasan-kawasan yang berbeza di seluruh dunia selama lima tahun. Darwin yang masih muda pada masa itu, amat tertarik dengan berbagai spesies hidupan, terutamanya burung-burung ciak yang dilihatnya di Kepulauan Galapagos. Dia menyangkakan bahawa variasi pada paruh burung tersebut adalah disebabkan oleh adaptasi (penyesuaian) mereka terhadap habitat mereka. Dengan meletakkan ide ini di dalam mindanya, beliau menyangka bahawa asal hidupan dan spesies adalah berlandaskan kepada konsep “adaptasi kepada persekitaran”. Menurut Darwin, spesies-spesies hidupan yang berbeza ini bukannya diciptakan oleh Allah, tetapi sebaliknya datang daripada satu moyang dan kemudiannya menjadi berbeza di antara satu sama lain disebabkan oleh keadaan-keadaan semulajadi.

Hipotesis Darwin ini tidak berdasarkan kepada mana-mana penemuan atau eksperimen sains; bagaimanapun beliau kemudiannya telah menukarkan teori ini menjadi sebuah teori yang berpengaruh hasil sokongan dan galakan yang diterimanya daripada ahli-ahli biologi materialis yang terkenal pada masa itu. Ide tersebut ialah individuindividu yang telah menyesuaikan diri dengan habitat sebagai suatu cara terbaik memindahkan kualiti mereka kepada generasi-generasi mendatang; kualiti berguna (advantageous qualities) ini telah berkumpul di dalam satu masa dan merubah individu tersebut kepada suatu spesies yang berlainan sama sekali dengan moyangnya. (Asal kepada “kualiti-kualiti berguna” ini belum diketahui pada zaman tersebut). Menurut Darwin, manusia merupakan hasil termaju mekanisme ini. Darwin menggelar proses ini sebagai “evolusi oleh pilihan semulajadi”. Beliau menyangkakan bahawa dia telah menemui asal usul hidupan, iaitu: asal suatu spesies ialah spesies yang lain. Beliau mengeluarkan pandangan ini di dalam bukunya bertajuk “The Origin of Species, By Means of Natural Selection” pada tahun 1859.”

Penipuan Evolusi, Harun Yahya

Teori Evolusi

Teori ini merupakan songsangan kepada kepercayaan bahawa ada Tuhan yang menciptakan alam dan isinya. Ini kerana teori evolusi meyakini bahawa alam ini tiada kaitan dengan Tuhan dan ia wujud secara kebetulan. Bukan sekadar haiwan beruk sahaja telah mengalami evolusi dan bertukar menjadi manusia, tetapi teori ini juga menyatakan semua haiwan yang ada sekarang telah mengalami proses evolusi. Sebagai contoh, teori ini menyatakan suatu ketika dimana haiwan di dalam air kekurangan makanan dan merasa perlu untuk naik ke darat. Mereka menggelarkan ia sebagai teori dari air ke darat. Kemudiannya, ikan-ikan itu tadi telah berpindah ke darat dan menyesuaikan diri dengan berjaya menghasilkan sepasang kaki hadapan dan belakang secara perlahan-lahan. Dan apabila ia telah sempurna, maka ia menjadi sebagai seekor biawak yang telah berjaya mengalami proses evolusi dari seekor ikan.


Apa yang perlu untuk dipersoalkan ialah, bagaimana haiwan tersebut mendapat kebijaksanaan tersebut dan kita juga sedia maklum bahawa seekor ikan mempunyai kelengkapan yang amat sempurna untuk membolehkannya hidup di dalam air. Seekor ikan telah diberikan sepasang insang untuk bernafas didalam air, juga mempunyai tubuh bersisik dan licin untuk memudahkan ia berenang. Begitu juga seekor biawak. Seekor biawak juga mempunyai anggota tubuh yang sangat kompleks untuk menyesuaikan diri di habitatnya. Jadi semasa proses peralihan dari ikan kepada biawak, ia sudah tentu kekurangan sesuatu yang membantu ia menyesuaikan diri untuk makan, dan juga menetap di habitat yang baru. Sebab masa yang diambil bagi proses peralihan bukannya singkat, maka sudah tentu ia akan mati dahulu sebelum sempat bertukar kepada seekor biawak. Jadi sudah tentu ia adalah suatu rekaan dan pembohongan teori evolusi sahaja.

Bagaimana pula dengan haiwan-haiwan yang lain? Situasinya adalah sama seperti peralihan dari air ke darat tadi. Kalau mengikut fahaman evolusi, mereka percaya bahawa ikan paus telah bertukar kepada seekor beruang.

“Di dalam The Origin of Species, Darwin mendakwa bahawa ikan pauh telah berubah daripada beruang yang cuba berenang! Darwin meramalkan bahawa kebarangkalian variasi di dalam satu spesies adalah tidak terhad. Ilmu sains abad ke-20 telah membuktikan bahawa senario evolusi ini adalah sebuah khayalan.”

Penipuan Evolusi, Harun Yahya.



Kesan Teori Evolusi

Cuba kita perhatikan, perjalanan teori ini begitu teratur sekali. Ia disusun begitu rapi sekali dan sekiranya seseorang itu tidak memperhatikan secara teliti dan serius, sudah tentu ia akan terperangkap dan berpendapat teori ini ada benarnya. Apa yang cuba diutarakan oleh teori ini ialah bantahan terhadap kewujudan Tuhan dalam kehidupan kita. Bagi mereka, alam ini telah wujud tanpa permulaan dan akan kekal buat selama-lamanya. Untuk mempertahankan ideologi ini, mereka telah menyatakan bahawa hidupan sentiasa berubah-ubah untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran. Dengan ini mereka telah menyangkal kewujudan Tuhan dalam proses pentadbiran alam ini dan juga tidak mempercayai hari kebangkitan – hari kiamat.

Apa kaitan dengan teori Big Bang – Big Bang Theory.

Sekarang cuba kita perhatikan pula terhadap suatu teori yang terkemuka iaitu teori Big Bang, yang menceritakan tentang asal-usul sistem suria dan juga sistem cakerawala. Big Bang theory telah berjaya mematahkan ideologi Karl Marx iaitu materialisme seterusnya berjaya mematahkan ideologi yang dibawa oleh Darwin iaitu teori evolusi. Materialis percaya bahawa alam ini kekal tanpa permulaan dan tidak akan berakhir buat selama-lamanya.



Saintis dengan kelengkapan yang lengkap telah merumuskan bahawa cakerawala ini telah terbentuk hasil daripada suatu letupan yang besar pada 15 bilion tahun lampau yang dikenali sebagai Big Bang. Teori Big Bang ini telah menyatakan bahawa bahan-bahan fizikal telah terbentuk daripada tiada atau dengan kata lain ia telah diciptakan.

Secara ringkas, saintis-saintis telah menjumpai pelbagai bukti yang menyatakan bahawa alam semesta ini sedang berkembang menjauhi antara satu sama lain.

“In 1989, George Smoot and his NASA team sent a satellite into space. Called the “Cosmic Background Emission Explorer” (COBE), it took only eight minutes for the sensitive instruments on board the satellite to detect and confirm the levels of radiation reported by Penzias and Wilson. These results conclusively demonstrated the existence of the hot, dense form remaining from the explosion out of which the universe came into being. Most scientists acknowledged that COBE had successfully captured the remnants of the Big Bang.”

-the creation of the universe, harun yahya




Maka apabila alam ini dikatakan berkembang menjauhi antara satu sama lain, sudah tentu ia berasal dari suatu titik yang sama. Di titik tersebutlah letupan besar ini berlaku -Big Bang.

Letupan menghasilkan planet yang boleh didiami?

Bumi merupakan suatu planet yang terhasil dari Big Bang tersebut. Begitu juga sistem suria kita yang kita berada sekarang. Termasuklah juga Milky Way yang mana sistem suria kita berada.


Persoalannya, Bumi merupakan suatu planet yang amat kompleks dan satu-satunya planet yang mampu didiami oleh manusia. Dari segi kandungan oksigen, suhu dan pelbagai komponen yang penting telah berada pada kestabilan yang amat membingungkan. Keteraturan ciptaan bumi memang ajaib dan memeningkan sesiapa yang mengkaji kekompleksan yang ada pada kejadian bumi.

Maka, adakah sebuah letupan besar – Big Bang – berjaya menghasilkan sebuah planet yang begitu kompleks ini? Sedangkan sebagaimana yang diketahui, letupan hanya akan menghasilkan kemusnahan dan bukannya menghasilkan sesuatu yang baik.

Oleh sebab itu, sebagai seorang yang mempunyai akal fikiran yang waras dan tahap intelektual yang tinggi, tidak dapat tidak kita perlu meyakini bahawa terdapat suatu unsur luaran yang telah campur tangan terhadap penciptaan alam semesta ini dan sudah tentu unsur tersebut adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dengan fikiran dan hujah logik dan bukti secara berilmu maka dengan mudah kita akan mampu melawan teori evolusi dan teori materialisme yang percaya alam ini kekal selama-lamanya. Dengan ini, kita sebagai seorang Islam perlu mempercayai bahawa Tuhan tersebut adalah Allah Yang Maha Hebat.

Wallaahu’alam

Mencari Hati

 
“Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur meningati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”

Imam al Ghazali

Anak-anak kita


Mata melihat kelibat beberapa anak kecil yang berlari-lari di taman permainan. Begitu girang sekali lagaknya. Manakan kenal letih ketika bermain, walaupun cahaya pagi matahari menghinggap di muka-muka jernih mereka.

Aku adalah mereka, tetapi tidak lagi sekarang… Aku adalah mereka ketika 20 tahun yang lampau. Perilakunya hampir serupa, mungkin suasana sekeliling sahaja yang berbeza. Siapa aku kalau bukan anak kampung, yang sememangnya aktif bermain. Bergurau senda, dan kadang kala bergaduh-gaduh manja. Tiada tempat untuk dendam bertapak di hati suci seorang kanak-kanak.


Masa berlalu tanpa dapat dihalang lagi. Biar pun merintih dengan air mata darah sekalipun, pasti tiada lagi peluang untuk kembali ke masa lampau. Memang tidak dapat dihalang, waktu hari ke hari memamah usia yang kini sudah menjenguh ke alam dewasa.

Tetapi, kini kawan-kawan tidak lagi di tempat yang sama. Walaupun 20 tahun dulu, kami satu kumpulan dan satu geng. Bersama-sama mandi di sungai Nerus, sama-sama kayuh sampan dan sama-sama menuai padi.

Emak tetap di hati anak kecil. Benar, siapa lagi yang terdekat dengan seorang anak selain daripada emak dan ayahnya. Emak dan ayahlah yang bertanggung jawab untuk mencorakkan kehidupan anak-anak. Buktinya, berapa ramai kawan-kawan sepermainan yang 20 tahun dulu amat baik perilakunya, baik sesuai dengan akhlak budak-budak yang lain… namun kini ada juga yang tersasar daripada jalan yang benar. Berapa ramai yang sudah tempang akhlakya?

Wahai pemilik mata-mata yang membaca tulisan ini, salahkah kalian menegur anak-anak kecil yang nakal di surau-surau, yang membuat bising ketika solat jamaah? Salahkah kalian sama-sama membimbing anak-anak ini untuk membaiki akhlak, walaupun secara perlahan-lahan? Bimbang-bimbang, nanti rebung sudah menjadi buluh.

Tsunami sosial melanda negara tanpa mampu disekat. Aliran-aliran pemikiran menerjah kepala muda-mudi membuatkan mereka tertanya-tanya, mana satu yang benar. Fahaman materialistik menumpang hati-hati kita. Begitu juga hedonisme.

Muda-mudi yang tertanya-tanya ini perlukan bimbingan, jika sudah tidak dapat dibetulkan yang sudah terpesong pun, sama-sama kita pelihara mereka yang masih lurus.

Kita ada medium, biarpun sekurang-kurang Facebook. Banyakkan perkongsian yang elok di Facebook contohnya, kerana setiap yang dikongsi itu ada hadiahnya, dan setiap yang dikongsi juga ada mudharatnya.


Pesan untuk diri ini…
_irhafiz