Mata melihat kelibat beberapa anak kecil yang berlari-lari di taman permainan. Begitu girang sekali lagaknya. Manakan kenal letih ketika bermain, walaupun cahaya pagi matahari menghinggap di muka-muka jernih mereka.
Aku adalah mereka, tetapi tidak lagi sekarang… Aku adalah mereka ketika 20 tahun yang lampau. Perilakunya hampir serupa, mungkin suasana sekeliling sahaja yang berbeza. Siapa aku kalau bukan anak kampung, yang sememangnya aktif bermain. Bergurau senda, dan kadang kala bergaduh-gaduh manja. Tiada tempat untuk dendam bertapak di hati suci seorang kanak-kanak.
Masa berlalu tanpa dapat dihalang lagi. Biar pun merintih dengan air mata darah sekalipun, pasti tiada lagi peluang untuk kembali ke masa lampau. Memang tidak dapat dihalang, waktu hari ke hari memamah usia yang kini sudah menjenguh ke alam dewasa.
Tetapi, kini kawan-kawan tidak lagi di tempat yang sama. Walaupun 20 tahun dulu, kami satu kumpulan dan satu geng. Bersama-sama mandi di sungai Nerus, sama-sama kayuh sampan dan sama-sama menuai padi.
Emak tetap di hati anak kecil. Benar, siapa lagi yang terdekat dengan seorang anak selain daripada emak dan ayahnya. Emak dan ayahlah yang bertanggung jawab untuk mencorakkan kehidupan anak-anak. Buktinya, berapa ramai kawan-kawan sepermainan yang 20 tahun dulu amat baik perilakunya, baik sesuai dengan akhlak budak-budak yang lain… namun kini ada juga yang tersasar daripada jalan yang benar. Berapa ramai yang sudah tempang akhlakya?
Wahai pemilik mata-mata yang membaca tulisan ini, salahkah kalian menegur anak-anak kecil yang nakal di surau-surau, yang membuat bising ketika solat jamaah? Salahkah kalian sama-sama membimbing anak-anak ini untuk membaiki akhlak, walaupun secara perlahan-lahan? Bimbang-bimbang, nanti rebung sudah menjadi buluh.
Tsunami sosial melanda negara tanpa mampu disekat. Aliran-aliran pemikiran menerjah kepala muda-mudi membuatkan mereka tertanya-tanya, mana satu yang benar. Fahaman materialistik menumpang hati-hati kita. Begitu juga hedonisme.
Muda-mudi yang tertanya-tanya ini perlukan bimbingan, jika sudah tidak dapat dibetulkan yang sudah terpesong pun, sama-sama kita pelihara mereka yang masih lurus.
Kita ada medium, biarpun sekurang-kurang Facebook. Banyakkan perkongsian yang elok di Facebook contohnya, kerana setiap yang dikongsi itu ada hadiahnya, dan setiap yang dikongsi juga ada mudharatnya.
Pesan untuk diri ini…
_irhafiz

No comments:
Post a Comment