Tuesday, 3 May 2011

Mas Kahwin Yang Ringan



Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya wanita yang paling baik adalah yang paling ringan maskahwinnya”

Hadith diketengahkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya

Islam amat mementingkan soal wasatiah iaitu kesederhanaan. Memasukkan hal-hal yang memberatkan dan hal yang berlebih-lebih itu adalah perbuatan yang menyimpang daripada agama. 


Firman Allah dalam surah al Hajj ayat 78
“Allah sama sekali tidak mewajibkan hal-hal yang berat atas kamu dalam hal-hal agama”


Khalifah Umar al Khattab berkata

“Janganlah kamu meminta maskahwin yang terlampau tinggi bagi anak-anak perempuan kamu, kerana Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah bernikah atau menikahkan puterinya , dengan maskahwin lebih dari empat dirham. Jika kamu beranggapan bahawa maskahwin yang tinggi itu merupakan suatu kemuliaan di dunia atau dipandang sebagai ketakwaan di akhirat, maka sayugialah kamu mengikuti jejak baginda Rasulullah s.a.w.”
Surah al Baqarah ayat 185

“Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusahan bagi kamu”
Akan tetapi terdapat ramai orang yang menyimpang daripada ajaran Islam mengenai hal itu. Mereka memandang perkahwinan anak perempuannya dari sudut kebendaan semata-mata, sebagaimana pedagang memandang barang-barang dagangnya yang harus dapat mendatangkan keuntungan besar, tanpa menghiraukan ‘nilai-nilai moral’. Mereka tidak mengindahkan pandangan keagamaan yang justeru itu dapat menjamin kebaikan keluarga dan memperkukuhkan kemantapan rumah tangga muslim. Seorang ayah yang mempunyai anak perempuan cantik atau bernasib baik memperoleh ilmu pengetahuan atau ijazah tinggi, ia (ayahnya) terbuai oleh perasaan bangga dan akhirnya diselubungi oleh perasaan kesombongan atau tinggi diri. Apabila datang seorang lelaki hendak meminang anak perempuannya, kalau ia mahu berbicara, permbicaraannya bernada bongkak dan megah. Apabila menerima pinangan lelaki itu dan bersedia menikahkannya ia meminta maskahwin yang memberatkan lelaki itu sehingga tidak mampu memikulnya.


Para wali yang bersikap buruk, seperti merumitkan perlaksanaan perkahwinan dengan mengadakan berbagai macam acara dan upacara, atau mempersulitkan perkahwinan dengan meminta maskahwin berlebih-lebihan; mereka itu tidak memperhitungkan keadaan masyarakat tempat mereka hidup. Mereka tidak memikirkan akibat-akibat keruntuhan akhlak dan kerosakan masyarakat yang ditimbulkan oleh ”pasar perkahwinan yang sepi”. Mereka dijangkiti penyakit jiwa yang menghalang kemajuan umat dan kemajuan budi pekertinya serta mencegah usaha peningkatan mutu masyarakat dan menghalangi perkembangan peradabannya.

rujukan: Mutiara Perkahwinan menurut ajaran Islam, Muhammad Ali Quthb.

No comments:

Post a Comment